Wednesday 7 June 2017

Tuhanku...
Yang Memiliki Kesempurnaan
betapa indahnya diri-Mu itu,
sentiasa sahaja aku tenggelam
di dalam cinta-Mu ini,
pabila pengenalan terhadap-Mu
dibuka seluas-luasnya,
telah lenyap pandanganku terhadap
syurga dan neraka... iblis dan malaikat,
dunia dan akhirat... langit dan bumi,
malam dan siang.... ghaib dan nyata,
dan segala-galanya,
melainkan hanya Engkau sahaja..

Yang berlalu biarlah berlalu pergi, kita telah meninggalkannya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Apa yang boleh adalah jadikan iktibar untuk beramal hari ini mudah-mudahan menjadi kejayaan esok hari. Dikenangkan semula pun ia tidak akan kembali, biarpun kau tangisinya atau bersorak ceria.

Usah dikenangkan yang lalu, walaupun ia pahit... apakah kau suka ia berulang kembali? Usah dikenangkan yang lalu, walaupun ia manis... apakah kau suka ia menjadi suatu kelalaian untuk kamu?

Kadang-kala flashback memori itu kembali dengan secara tidak sengaja, maka berhati-hatilah dalam perjalanan apabila terserempak dengan beberapa perkara yang menyebabkan kita berhenti untuk seketika.

Ya Rabb,
Engkaulah yang menguasai malam ini,
kelembutan-Mu lebih dingin sejuk
daripada angin yang bertiup waktu ini,
jiwaku tenteram bersama cinta-Mu,
hatiku meluap-luap untuk meluahkan
perasaan yang membakar dalam diriku,
sesungguhnya Engkau Maha Mendengar,
maka dengan berkat pada waktu ini,
aku panjatkan munajat ke atas-Mu,
ku pohon agar Engkau mengampuni dosaku,
dengan rahmat-Mu ya Allah..
ku pasrahkan diriku yang lemah ini,
alangkah nista dan hinanya aku ini,
ku harap Kau terima taubatku ini,
tiada tuhan selain Engkau..
aku mengharapkan keampunan dari-Mu..

Kadang-kala pabila melihat kelebihan yang ada pada orang lain atau bakat yang luar biasa atau sesuatu yang menakjubkan ada pada dirinya, api kedengkian itu membara dalam hatinya. Dalam hatinya ingin sahaja berharap agar nikmat itu ada juga pada dirinya atau lebih baik darinya atau ia sendiri kecundang sehingga rebah ke muka bumi. Walaupun terpaksa tawaduk tunduk diri dek kerana ego yang terancam akibat ada yang lebih hebat dari kita.

Sahabatku, tidak cukupkah Allah Ta'ala kurniakan padamu sekarang? Tidakkah kau tahu Allah Maha 'Adil dan Maha Halus dalam mengaturkan seluruh hidup makhluk-Nya? Di mana hilangnya pengenalan Allah daripadamu sehingga kamu mahukan kehendak Allah terikat dengan kemahuan kita?

Marilah kita bermuhasabah terhadap apa yang telah kita lakukan dan tilik kembali betapa luasnya kurniaan Allah Ta'ala lebih daripada apa yang kamu impikan.... Alangkah zalimnya diri kita ini...... marilah kita pohon keampunan pada-Nya.

Hebatnya Allah mengajarkan kita semua. Dahulunya kita tidak tahu kemudian pada hari ini kita menjadi tahu hinggakan kita faham sesuatu perkara. Kadang-kala keajaiban ini membuat kita berkata, "Dulu aku tak tahu benda ni, sekarang aku dah tahu" atau "Entah macam mana dulu aku faham ini, tapi hari ini aku faham lain dari dulu" atau "Aneh sungguh dulu aku keliru bab ini, tetapi akhirnya aku boleh hurai bab ini" atau apa-apa yang seumpamanya.

Justeru, usah kita merasa tergugat apabila datangnya orang yang lebih hebat daripada kita atau berasa terancam ego kita apabila orang itu punyai bakat yang lebih tercungkil dari giginya sendiri. Allah Ta'ala mengaturkan seluruh alam ini dengan sifat ketuhanannya yang Maha Mulia dan Allah mencukupkan segala makhluknya dengan sebaik-baiknya. Jangan gusar dan cemas, Tuhan ar-Rahman itu akan memberikan kelebihan masing-masing yang sesuai dengan takdirnya yang disusunkan.

Kadang-kala apabila kita mengejar kesempurnaan, apabila kita melihat orang lain yang masih di takuk kekurangan, kita berharapkan agar orang itu dapat memahami dan merasai kefahaman sesebuah makna. Kemudian, kita bawakan Islah supaya orang lain kembali berfikir sepertimana apa yang diinginkan oleh Islam. Malangnya, kadang-kala perjuangan kita tersasar, lebih-lebih lagi apabila ada teman atau saudaranya yang tidak sependapat dengannya. Lalu kita merungut dan mengeluh, "Kenapalah orang ini tidak mahu faham macam aku?" atau "Aduhai, mengapa engkau tidak mahu terima sepertimana aku nampak?" atau "Kenapa engkau faham begini, sepatutnya kau kena faham macam ini macam itu (cara faham dia)" atau seumpamanya.

Saudaraku, rahmat Allah Ta'ala ini terlalu besar dan luas dan apa yang Allah aturkan untuk sekalian mumkin adalah dari sifat-Nya Yang Maha Adil, Maha Mengetahui, Maha Halus dan Maha Teliti setiap perkara. Pandangan dan perspektif yang berbeza itu salah satu karunia Tuhan. Dia menjadikan manusia itu berbilang-bilang kumpulan supaya kita saling mengenali. Lantas, mengapa kita menutup hati kita untuk melihat kehebatan pencaturan Allah? Bukankah berkuasa Allah Ta'ala untuk memberi faham yang berbeza daripada kamu yang lebih tahqiq dari kamu dan ia juga sama-sama meniti di atas kebenaran yang nyata?

Ya Karim,
Engkau pemberi kurnia pada hamba-Mu,
dan Engkau cukupkan bekalan mereka,
Engkau berikan cinta-Mu padanya,
kelembutan perasaan ini..
menjadikan mereka tenteram
di dalam naungan-Mu,
mereka tidak gusar lagi
terhadap makhluk memperlakukan padanya,
kerna Engkau sebaik-baik pelindung,
cukuplah bagi kami..
hanya untuk-Mu kami serahkan segalanya..
tiada apa lagi kami boleh pintakan,
rezeki-Mu telah dibentangkan
sebelum kami panjatkan doa kepada-Mu..

Ilmu tasawwuf tidak hanya menekankan hablumminAllah, tetapi ia juga hablumminannas. Mereka yang mempraktikkan ini tidak hanya duduk di atas sejadah menangis teresak-esak atau pegang tasbih zikir ribuan kali. Tetapi, mereka jugalah seorang mujahidin yang gagah di medan perang atau seorang penggerak kemajuan Islam dalam pembangunan dan tekonologi atau seorang yang aktif dengan kebajikan masyarakat atau seorang yang berkaliber dalam aspek-aspek yang tidak terjangkau pandangan kita. Apabila melihat orang lain terbaring kelaparan, dialah yang menghulurkan makanan dan apabila menyaksikan orang lain dizalimi, dialah yang pantas membelanya.

Bagaimana seseorang ingin mengurus dan mentadbir bumi Allah ini sedang hatinya tidak mengenal Tuhannya dan tidak beradab dengan Ar-Rahman yang istawa di atas Arasy? Dia berada di mana jua kamu berada dan jika ada empat orang di dalam satu kelompok maka Dia-lah yang kelimanya. Mana mungkin seseorang ingin membimbing manusia lain sedangkan dirinya terabai dengan kekotoran rohaninya yang menutup cahaya Allah yang terang-benderang untuk disampaikan pada mereka yang tertutup?

Kasihan kita yang menyokong perjuangan kepimpinan ulama' tetapi akhlak dan cara hidup tidak seperti mencontohi ulama'.

Alangkah zalimnya kita mengajak untuk kembali kepada ulama' warassatul anbiya' tetapi jejak langkah kita mengejar kepada syaitan yang direjam.

Setiap masa melaung-laungkan untuk kefahaman sebenarnya sepertimana ulama' yang muktabar fahami tetapi batinnya terpalit dengan dosa, syirik dan lalai.

Nama ulama' menjadi barang jualan semata-mata untuk kepentingan dunia dan mereka menggunakannya sebagai cemeti untuk memukul-mukul orang lain.

Betapa jahatnya kita melibatkan ulama' terhadap sesuatu yang tidak membawa faedah dan kebaikan sedangkan mereka berlepas diri dari dakwaan mereka.

Pencaturan Allah terhadap seluruh kehidupan makhluk sangat hebat. Masing-masing dicukupkan segala rezeki dan nikmat yang telah ditentukan dalam takdirnya sejak azali lagi. Penetapan yang telah Allah lakukan adalah sesuatu yang terbaik atas yang terbaik. Dia memperkenankan doa sebelum kita menadah tangan pada-Nya, Dia memberi sebelum kita meminta dari-Nya, Dia membuka jalan kebaikan sebelum kita berharap ke atas-Nya dan Dia menyelamatkan kita dari kesengsaraan sebelum kita mengelakkan daripada-Nya.

Penyusunan yang Allah Ta'ala aturkan adalah sifat-Nya Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha 'Adil dan Maha Halus segala perkara. Tidak usahlah engkau merasa gusar terhadap apa yang belum engkau miliki kerana apa yang ada padamu sebenarnya lebih cukup dari apa yang kamu harapkan dan tidak perlu merasa bimbang kepada yang bakal mendatang kerana apa yang telah Allah perbuatkan ke atasmu tidak lain tidak bukan adalah dari rahmat-Nya yang lebih luas dari murka-Nya.

Di dalam cinta...
ada sebuah keindahan,
bayu di dalamnya
sangat menyenangkan hati,
syair yang dibina ini
masih belum menjelaskan akan ia,
mereka yang tidak merasainya
akan tidak mendapat gambaran,
Oh! aku terusik dalam cintamu..!!!
jantungku berdegup sepantasnya,
dadaku terbuka luas,
hatiku semakin terisi,
ke marilah wahai kekasihku..!!
bersama-sama dalam dakapan cinta ini...

Ilmu tasawwuf ini akan mengajar kamu untuk merasai kenikmatan dalam berugama Islam dan kemanisan iman. Hidup ini sangat indah dihayati kerana Allah Ta'ala menciptakan kita dengan hikmah-Nya. Betapa Al-Karim itu sentiasa mencurahkan ke atas kita dengan cinta-Nya yang melampaui segala sesuatu. Rahmat-Nya mengatasi murka-Nya. Sesiapa yang melihat kemurahan-Nya ia akan melihat betapa kecilnya dosa yang ada pada diri kita jika dibandingkan dengan rahmat yang telah Dia bukakan seluas-luasnya. Hanya Allah Ta'ala sahajalah menjadi pautannya dan tempat ia bergantung.

Bermula tasawwuf itu mendidik hati dengan melatih sifat-sifat mahmudah dan mengikis sifat mazmumah, lantas mujahadah satu peringkat ke peringkat yang lain sehingga mencapai "La maujudun bihaqqiqin illAllah". Pandangannya, kesedarannya, impiannya, cita-citanya, harapannya, doanya, penyerahannya dan segalanya hanya untuk Allah. Mereka tenggelam dalam kelazatan belaian kasih sayang Allah. Dia meredhai-Nya dan Allah meredhai-Nya. Hatinya tenang dan tidak lagi berasa gusar akan jiwanya kerana diliputi perlindungan dna penjagaan Allah Ta'ala. Tiada apa lagi yang boleh menghalangnya lagi untuk memisahkan al-Haq dengan dirinya. Entah bagaimana dia akan menghilang dari sesuatu yang nyata mahupun ghaib.

Semuanya bukanlah hanya perkataan semata-mata, tetapi ia dari suatu perasaan yang tidak tergambar akan kehebatannya..!!

Menangislah! Betapa dihadapan kamu adalah Tuhanmu itu punyai keindahan dan kesempurnaan, sedang kamu dilitupi dengan kekurangan dan kenistaan. Allah tempat bergantung seluruh makhluk, menjadi pautan seorang hamba untuk mengharapkan perlindungan dan penjagaan. Penyerahan engkau terhadap-Nya adalah sepenuh hatinya tanpa mengharapkan suatu balasan atau ganjaran, membiarkan Tuhanmu itu menguruskan dirimu. Apa sahaja Dia perbuat pada-Mu, engkau meredhai-Nya tanpa perbanyakkan persoalan dan mencari-cari hikmah dan sebab. Engkau tunduk malu lalu menangis menyesal serta memohon keampunan kerana masih menyimpan perasaan merungut-rungut pemberitan-Nya yang penuh dengan kemurahan.

Adalah jiwa ini sentiasa terbelenggu dengan penjara-penjara yang memerangkapkan diri untuk mengenal Tuhannya dan tenang di dalam belaian kasih sayang-Nya. Tiada apa yang boleh mengeluarkan dirimu sendiri melainkan kekuatan dan keperkasaan Al-Jabbar. Apabila Dia mengeluarkan dirimu daripada dirimu sendiri, kesedaranmu hilang untuk pandangan selain-Nya. Buaian cinta terhadap-Nya menjadikan engkau menjadi "mabuk" dari kesedaran seorang manusia yang waras dan "ghaib" dari hidup yang nyata di atas muka bumi ini dan engkau sendiri tidak menyedari kemabukan dan keghaiban kamu. Engkau merayu dengan tangisan berdarah dan meronta-ronta sehingga berteriak seluruh zahir dan batinmu agar terbuka tabir hijabmu dan melihat tajalli diri-Nya Yang Maha Mulia.

Apabila Dia membuka tirai-Nya dan memperkenalkan serta memperlihatkan diri-Nya padamu, engkau menjadi musnah dalam pandangan terhadap-Nya! Oh! Terpukau matamu, terketar jemarimu dan menggeletar seluruh tubuh, jiwa dan ragamu merasakan dan menikmati keagungan-Nya.... Bayu angin dan ombak laut tidak lagi membolak-balikkan kamu, hanya tenggelam dalam penyaksian keesaan Al-Qayyum.

Wahai Tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan merahmati kami nescaya kami termasuk orang yang rugi! Ya Tuhanku! Engkau Maha Mendengar rintihan hamba-Mu yang merayu pada-Mu, limpahkan kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya (kafir). Ya Hayyu ya Qayyum, terimalah kami sebagai hamba-Mu yang dikasihi!

Api biru yang menyala,
penyelamat itu telah hadir,
dalam penjara kegelapan ini,
betapa aku ketakutan
menghadapi penderitaan ini,
ia bersinar dengan gemerlapnya,
cahayanya menembusi pelusuk penjuru,
tidak terhujung akan penghujungnya,
api yang menyala itu
membakar diriku
hingga menjadi abu yang berdebu
dan berterbangan pergi ditiupi angin,
aku tidak lagi merasakan kesedihan,
bahkan ketenangan ini
menjadikan hatiku tenteram...
Ah! Inilah kenikmatan yang tidak dilupakan,
aku tidak akan melepaskannya lagi..

Ayahku,
masih kah engkau tertidur
akan kepenatan mencari
kebahagiaan untuk keluarga?
tidurmu itu tidak lena,
masih memikirkan
untuk apa keluargamu hidup?

Ibu......,,
mencari apa engkau waktu ini?
bukankah aku ada disisi mu..?
dan sekali-kali tidak menghilang
aku dari pandanganmu,
betapa kasih sayangmu itu...
mengalir ibarat sungai,
dan aku tenteram di dalamnya...

Anakku,
kau dengarlah pesan kami,
hidup ini bukanlah untuk keseronokan
mencari kebuangan yang tidak terpakai,
betapa banyak duri yang kau kena lalui,
supaya kau menjadi insan yang berjaya..
semoga Allah tunjukkan kamu
pada jalan yang lurus...
kami bakal meninggalkanmu...
inilah wasiat kami
jagalah dirimu baik-baik..
wahai anakku..